Search This Blog

Tuesday, January 27, 2009

PENJELASAN PENTING ISU MURTAD

Soalan:
Assalamualaikum. Ustaz…kawan saya pernah menyebut satu perkataan: “Aku bukan muslim”. Adakah dia jatuh murtad sebab sebut perkataan macam tu?

Jawapan
:
Wa'alaykumsalam.

MUQADDIMAH


Ketahuilah bahawa dalam agama Islam, seseorang muslim itu boleh terbatal islam dan imannya (murtad) disebabkan antara tiga perkara. Pertama ‘Riddah I’tiqad’: Akidah yang murtad, kedua ‘Riddatul Fi’ly’ : Perbuatan yang murtad, ketiga ‘Riddatul Qauly’: Bicara lidah yang murtad. Ini adalah hukum Islam dan Ijmak Ulama yang tidak harus dipertikaikan lagi dan ia bukan masaalah khilafiyyah. Murtad bererti seseorang yang asalnya Bergama Islam telah dihukum terkeluar dari agama Islam dan bukan muslim lagi dan dinamakan sebagai si murtad atau kafir.


SENARAI ULAMA ISLAM YANG MENJELASKAN PEMBAHAGIAN MURTAD DAN KUFUR ITU TERBAHAGI KEPADA TIGA: KUFUR AQIDAH, KUFUR PERBUATAN DAN KUFUR LISAN.


Bagi memudahkan para pengkaji, dibawah ini disenaraikan sebahagian (sebenarnya banyak lagi) ulama Islam yang telah menjelaskan hukum murtad dan kufur itu mungkin berlaku dengan antara tiga perkara iaitu akidah yang kufur, perbuatan yang kufur dan tutur bicara lidah yang kufur.
Kesemua syirik besar itu adalah kufur dan kesemua murtad juga adalah kufur terkeluar dari Islam.
Senarai sebahagian ulama yang membahagikan kufur kepada tiga:

- Syeikh Ibnu Hajar Al-Haitamy dalam kitab Fathul Jawad Bi Syarhil Irsyad jilid 2 m/s 298 cetakan Mustofa Al-Baabiy Al-Halaby Kaherah.
- Imam Nawawi Asy-Syafi’e dalam Raudahtul Tolibin pada Kitab Ar-Riddah juzuk 10 m/s91 Cetakan Zuhair Syawisy Beirut.
- Syeikh Al-Hatthob Al-Maliky dalam kitab Mawahibul Jalil Bi Syarh Mukhtasor Kholil cetakan Darul Fikr Beirut.
- Syeikh Muhammad ‘Illaisy Al-Maliky dalam kitab Manhul Jalil Syarh Muktasor Kholil juzuk 9 m/s 205 cetakan Darul Fikr Beirut.
- Al-Faqif Ibnu ‘Abidin Al-Hanafy dalam kitab Raddul Muhtar ‘Ala Ad-Durril Mukhtar pada Bab Riddah jilid 3 m/s 283 cetakan Dar Ihyaul Turath Al-‘Araby Beirut.
- Syeikh Tajuddin As-Subki dalam kitab Tobaqoot Asy-Syafi’eyyah jilid 1 m/s 91 cetakan ‘Isa Al-Baabiy Al-Halaby Kaherah.
- Imam Al-Buhuty Al-Hambaly dalam kitab Syarh Muhtaha Al-Iradaat pada Bab Hukmul Murtad jilid 3 m/s 386 cetakan Darul Fikr Beirut.
- Gabungan Ulama Yaman melalui Maktab At-Tauhid Wal Irsyad Yaman dan diiktiraf oleh ulama-ulama Al-Azhar dan seluruh dunia.
- Dan selain mereka.

Seluruh ulama di atas dan selainnya menjelaskan murtad itu berlaku disebabkan antara tiga perkara iaitu akidah yang kufur, perbuatan yang kufur, dan bicara lidah yang kufur.
Maka sesiapa yag mengatakan: "Aku bukan muslim" maka dalam islam dia dianggap melakukan Riddatul Qauly iaitu dia telah murtad disebabkan tutur bicara lidahnya menyebut perkataan yang menyebabkan dia murtad. Wajib ke atasnya kembali kepada Islam dengan mengucap dua kalimah Syahadah dengan niat memeluk Islam semula.


PENJELASAN

Dalam kesempatan kali ini saya ingin menegur, menasihat dan menolak secara ilmiah beberapa fahaman yang silap pada perkara yang amat bahaya ini. Tujuannya bukan kerana menolak para pengkaji ilmu secara semborono tetapi menilai secara benar dan jujur sesuatu pandangan yang mengunakan nama Islam agar umat tidak bercelaru.
Difokuskan untuk lebih ringkas bagi kali ini pada kes yang ketiga iaitu ‘Riddatul Qauly’: murtad dan kufur yang disebabkan dari perkataan atau lidah.

Dalam islam sekiranya seseorang muslim itu menutur perkataan yang bahaya seperti perkataan yang mempunyai unsur menghina Allah, para Nabi dan para Rasul, menghina Al-Quran, memperlekeh dan mempersenda perkara yang berkaitan dengan tanda-tanda Islam, maka dia telah pun murtad. Sebagai contoh seseorang itu berkata: “Aku musuh Allah”, “Aku tidak takut kepada Allah”, “Al-Quran itu tidak berfaedah”, “Aku bukan orang Islam”, “Allah itu sama dan serupa dengan makhluk” dan selainnya dari perkataan-perkataan kufur maka orang yang menuturkan perkataan tersebut terkeluar dari Islam serta merta dan dihukum sebagai murtad walaupun dia sedang marah atau bergurau atau bermain-main ketika-mana dia menyebut perkataan seumpama tadi. Inilah yang telah dinaskan oleh ulama Islam.

Begitu juga dalam keadaan biasa (tidak mukrah bil qotl) sekiranya seseorang muslim itu menyebut atau menutur dengan lidahnya perkataan yang kufur maka dia jatuh ke dalam hukum murtad sudah tidak muslim lagi walaupun dia tidak mahu keluar dari agama Islam. Sebagai contoh jika itu menyebut perkataan: “Aku bukan orang Islam” maka dia telah jatuh kafir terkeluar dari Islam walaupun dirinya sendiri tidak memilih selain dari Islam itu sebagai agamanya. Samalah hukumnya jika ketika dia menuturkan perkataan kufur tadi dia berkeadaan marah, bergurau-senda, bermain-main atau sengaja dan bukan tersalah cakap.


PENCERAHAN PENJELASAN


Hukum berbeza jika orang itu berkeadaan (mukrah bil qotl) iaitu dipaksa bunuh. Ini dikira dia berada dalam keadaan yang khusus berbeda dengan keadaan biasa.Mukrah Bil Qotl adalah seperti: jika seseorang muslim itu ditangkap oleh orang kafir dalam peperangan kemudian dia dipaksa oleh orang kafir tadi untuk menyebut perkataan “Aku bukan orang Islam” dan jika tidak menyebutnya orang kafir itu memberitahu akan membunuh orang islam tadi. Dalam keadaan ini jika orang islam tadi menyebut perkataan “Aku bukan orang Islam” dan hatinya tidak meredhoi dan tidak setuju dengan perkataan itu maka dia tidak jatuh hukum murtad. Ia berbeza dengan seseorang menyebut perkataan tadi dalam keadaan tidak dipaksa bunuh atau dalam keadaan biasa seperti dalam keadaan bergurau, marah dan selainnya. Ini kerana jika dia menutur perkataan tersebut dalam keadaan selain (mukrah bil qotl) dipaksa bunuh maka dia jatuh murtad.


KENYATAAN YANG SILAP


Terdapat beberapa kenyataan yang silap pada menerangkan isu murtad ini. Antara kenyataan yang salah dan bercanggah dengan syarak adalah:
“Seorang muslim itu tidak dikira murtad terkeluar dari Islam dan tidak boleh dihukum ke atasnya sebagai murtad kecuali dia rela untuk menjadi kafir dan diikuti dengan perbuatan yang kufur”.

Penting!
Kenyataan di atas adalah salah dan bercanggah dengan hukum Islam kerana seolah-olah tidak menghukum murtad kepada seorang yang telah menghina Allah melalui ucapan lidahnya kecuali dia rela hati untuk keluar Islam sedangkan dalam Islam seorang yang menghina Allah dengan lidahnya walaupun dia tidak berniat dan tidak rela untuk keluar dari Islam (murtad) dia tetap dihukum sebagai murtad.

Penting!

Hukum Islam sebenar seperti mana yang telah dijelaskan oleh ulama Islam adalah:
Sekiranya seseorang muslim itu menyebut atau menutur dengan lidahnya perkataan yang kufur maka dia tetap jatuh ke dalam hukum murtad sudah tidak muslim lagi walaupun dia tidak mahu keluar dari agama Islam, walaupun dia tidak rela dirinya menjadi kafir maka dia tetap murtad dan kafir. Sebagai contoh jika itu menyebut perkataan: “Aku bukan orang Islam” maka dia telah jatuh kafir terkeluar dari Islam walaupun dirinya sendiri tidak memilih selain dari Islam itu sebagai agamanya.

Rujuk penjelasan seperti di atas oleh ulama Islam:
- Muhammad Al-‘Abbas Al-Hanafy dalam kitab Al-Fatawa Al-Mahdiyyah Fil Waqoi’il Masyriyyah pada Bab At-Ta’zir War Riddah dan pada Bab Hadul Qozaf Wal Bughot jilid 2 m/s 27.
- Syeikh Mulla ‘Aly AL-Qory dalam kitab Syarh Fiqhul Akbar m/s 165
- Imam Ibnu Hajar Al-Asqolany dalam Fathul Bary Syarh Sohih Al-Bukhary jilid 12 m/s 300, 301 dan 302.
- Imam An-Nawawi dalam kitab Raudhatul Tolibin jilid 10 m/s 68.
- Syeikh Abu Al-Muzhoffar ‘Aalamakir dalam kitab Al-Fatawa Al-Hindiyyah jilid 2 m/s 261.
- Dan selain mereka.

Awasi murtad yang disebabkan dari lidah dek ucapan yang terkeluar dari Islam.
Semoga Allah merahmati dan memelihara akidah kita.

P/S: Masaalah berkaitan Murtad ini perlulah ditanya kepada yang mahir dalam permasaalahan murtad dan gejalanya. Jangan tanya sebarangan ustaz bimbang jawapan yang kurang tepat menghambat jiwa.

Disediakan oleh: www.ustaz-rasyiq.blogspot.com

Thursday, January 22, 2009

Siapa Syeikh Abdullah Al-Harari?

Soalan:
Saya kerap mendengar nama seorang tokoh ulama Islam bernama Syeikh Abdullah Al-Harari yang mempunyai anak murid seluruh dunia. Boleh tak Ustaz menceritakan siapakah Syeikh Abdullah Al-Harari ini atau lebih dikenali sebagai Al-Habasyi?

_______________

Jawapan:
Saya juga selalu mendengar nama tokoh ulama Islam ini dipersada media dan pernah berjumpa dengan beliau seperti mana ulama-ulama lain juga berjumpa dan menuntut ilmu daripada beliau.
Setelah dikaji secara detail didapati Syeikh Abdullah Al-Harari merupakan ulama Islam yang bersikap lembut terhadap perkara keimanan dan bersikap tegas terhadap perkara yang kufur. Beliau merupakan ulama yang bersikap tawadhu' dan baik hati. Tidaklah melampau sekirannya digelarkan beliau sebagai Syekhul Islam zaman ini iaitu ulama yang mempertahankan akidah Islam dan menyerang musuh-musuh Islam seperti Musyabbihah dan selainnya dengan hujjah dan dalil.Beliau telah kembali ke rahmatullah pada 2 Ramadhan 1429 yang lalu. Al-Fatihah buat beliau.


Demikian biodata ringkas beliau yang sebenar diambil dari sumber yang asal:-

SYEIKH ABDULLAH AL-HARARI AL-HABASYI


Nama dan Tempat Lahirnya:
Beliau adalah seorang yang alim, al-‘Allamah al-Muhaddis, pakar dalam ilmu fekah, dan kuat berhujah menentang golongan-golongan yang terpesong dari landasan Ahlus Sunnah Wal Jamaah, seorang yang zuhud dan bertaqwa, namanya ialah Abdullah bin Muhammad bin Yusuf bin Abdullah bin Jamei’, berasal dari Harar , berketurunan asy-Syaibi dan al-Abdary beliau juga merupakan Mufti Harar [dilantik menjadi mufti sebelum berumur 18 tahun].


Dilahirkan di bandar Harar pada tahun 1910 bersamaan 1328 Hijrah (beliau lahir lebih awal dari pada tahun yang tercatat, yang tercatat hanyalah yang tertera pada pendaftaran lama).


Pembesaran dan perjalanan hidup beliau:
Beliau telah dibesarkan di rumah yang penuh dengan kasih sayang pada ilmu agama. Beliau telah menghafal al Quran ketika berumur 7 tahun. Ayah beliau telah membacakan ke atasnya kitab al Muqaddimah al-Hadhramiah dan kitab al-Mukhtasar as-Saghir dalam ilmu fekah yang mana kitab tersebut amat mashyur di kawasannya.

Kemudian beliau mula menghafaz dari pelbagai matan-matan ilmu agama yang lain, kecenderungannya untuk mendalami ilmu hadis telah membuatkan beliau menghafal kitab-kitab hadis yang enam [سنن ستة] dan selainnya berserta dengan sanad-sanadnya sekali sehinggakan beliau telah diijazahkan meriwayat hadis-hadis nabi j ketika beliau kurang dari umur 18 tahun.

Tidak cukup dengan ulama di negaranya bahkan dia telah merantau keseluruh pelusuk Habsyah dan Somalia untuk menuntut ilmu dan mendengarnya daripada ulama setempat, oleh itu Syeikh Abdullah sanggup merintangi kesusahan dan kepayahan bahkan sekiranya dia mendengar ada orang alim disesuatu tempat maka dia akan bersegera pergi kepadanya seperti mana yang dilakukan ulama salafussolih yang terdahulu. Kehebatan, ketajaman fikiran dan kekuatan hafazannya yang hebat selain kemampuannya mendalami ilmu fekah Syafii dan usulnya dan mengetahui sudut khilaf dalam mazhab beliau juga sangat arif pendapat yang terdapat dalam mazhab Maliki, Hanafi dan Hanbali hinggakan beliau akan menjadi tempat rujukan ke mana sahaja beliau pergi, beliau juga diminta untuk mengeluarkan fatwa di bandarnya Harar dan sekitarnya.

Beliau telah mempelajari ilmu fekah Syafii dan ilmu usulnya dan juga ilmu nahu dan kitab-kitab yang lain antaranya seperti Alfiah Zubad, Kitab Tanbih, Minhaj, Alfiah bin Malik, al-Luma’ as-Syirazi dan banyak lagi dari Syeikh Muhammad Abdul Salam al-Harary, Syeikh Muhammad Omar Jamei’ al-Harary, Syeikh Muhammad Rasyad al-Habasyi, Syeikh Ibrahim Abil Gaish al-Harary, Syeikh Yunus al-Habasyi dan Syeikh Muhammad Siraj al-Jabruty.

Manakala dalam ilmu bahasa arab beliau telah mengambilnya daripada Syeikh as-Soleh Ahmad al-Basir, Syeikh Ahmad bin Muhammad al-Habasyi dan ulama-ulama lain. Lagi tiga mazhab fekah yang lain dan usulnya beliau telah ambil daripada Syeikh Muhammad al-Araby al-Fasy dan Syeikh Abdur Rahman al-Habasyi.

Dalam ilmu tafsir beliau telah mengambil dari Syeikh Syarif al-Habasyi di bandarnya iaitu Jimmah.

Beliau telah mempelajari ilmu hadis dari as-Syeikh Abu Bakar Muhammad Siraj al-Jabruty Mufti Habsyah dan Syeikh Abdul Rahman bin Abdillah al-Habasyi.

Beliau mempelajari ilmu Qiraat 14 dari dan ilmu Hadis dari gurunya yang alim iaitu Syeikh al-Muhaddis Ahmad Abdul al-Muttalib al-Jabaruty al-Habasyi , beliau adalah ketua guru kepada ahli-ahli ilmu Qiraat di Masjidil Haram di Mekah dan dari Syeikh Daud al-Jabruty al-Qori, Syeikh al-Muqri Mahmud Faiz ad-Dair Atony ilmu qiraat yang tujuh.

Ketika beliau berada di Mekah beliau sempat berkenalan dan bersahabat dengan ulama-ulama Mekah diantaranya ialah Syeikh al-Alim as-Said Alawi al-Maliki, Syeikh Amin al-Kitbi, Syeikh al-Muhaddis Muhammad Yasin al-Padani [berasal dari Padang, Indonesia], Syeikh Muhammad al-Araby at-Tabban, beliau juga pernah mengambil ijazah amalan zikir Tariqat an Naqsyabadiah dari Syeikh Abdul Ghafur al-Afghani An-Naqsyabandi.
Kemudian beliau telah pergi ke Madinah al-Munawwarah di sana beliau sempat belajar ilmu-ilmu hadis dan membaca hadis-hadis nabi dari Syeikh al-Muhaddis Muhammad bin Ali al-Siddiq al-Bakry al-Hindi al-Hanafi dan syeikh tersebut mengijazahkan ilmu hadis kepada beliau. Di sana juga beliau sempat pergi ke Maktabah Arif Hikmat dan Maktabah al-Mahmudiah dan mengkaji ilmu-ilmu di sana, dan di katakan beliau telah menghafaz hampir kesemua kitab di dalam maktabah-maktabah tersebut. Di Madinah juga beliau sempat bertemu dengan seorang ulama hadis iaitu Syeikh al-Muhaddis Ibrahim al-Khattani anak murid kepada seorang ulama yang masyhur iaitu Syeikh al-Muhaddis Abdul Qadir Syalbi. Adapun ijazah-ijazah ilmu agama yang beliau perolehi dari ulama-ulama memang sangat banyak tetapi tidak disebutkan di sini.

Selepas itu beliau menuju ke Baitul Muqaddis dan seterusnya ke dataran Syam yang dulu terkenal dengan seorang ulama yang sangat alim iaitu al Muhaddis Syeikh Badruddin al-Hasani tetapi beliau sudah lama meninggal dunia sebelum kedatangan Syeikh Abdullah al-Harary ke sana. Di sana Syeikh Abdullah al-Harary menjadi rujukan dalam masalah-masalah agama bahkan beliau mengembara ke desa-desa dan ke bandar-bandar di antara Dimashq, Beirut, Himsh, Hamah, Halab dan bandar-bandar yang lain di seluruh pelusuk bumi Syam, kemudian dia menetap di Jamik al-Khuthat di satu tempat yang bernama Khaimuriah di Dimashq dan menyampaikan ilmu-ilmu Islam yang berguna dan bermanfaat dan mengajarkannya berteraskan Manhaj atau metodologi Ahlus Sunnah Wal Jamaah, para masyaikh, alim ulama Syam merujuk kepada Syeikh Abdullah tentang bermacam-macam masalah sehingga mereka mengatakan bahawa Syeikh Abdullah ini adalah pengganti kepada al Muhaddis Syeikh Badruddin al-Hasani dari segi ilmu. Kemudian beliau digelar sebagai "Al-Muhaddis Ad-Diyar Asy-Syamiyyah".
Syeikh Abdullah telah menerima ijazah tariqat al-Rifaeyyah dari Syeikh Abdul Rahman al-Sabsabi al Hamawy dan dari Syeikh Tohir al-Kayaly al-Humsi. Beliau sempat menerima ijazah tariqat al-Qadiriyah dari Syeikh Ahmad al-Arbiny dan dari Syeikh at-Toyyib ad-Dimasyqi.

Pada tahun 1950 bersamaan dengan 1370 hijrah beliau telah pergi ke Beirut dan di sambut oleh ulama-ulama di sana seperti Syeikh Taufiq al-Hibry. Dan pada tahun 1969 bersamaan 1389 beliau diminta oleh Rector al-Azhar cawangan di Lubnan untuk mengajar ilmu akidah di sana.

Sifatnya:
Syeikh Abdullah adalah seorang yang warak, tawadhuk, kuat mengerjakan ibadat, banyak berzikir, sentiasa menggunakan masanya untuk menyampaikan ilmu agama dengan mengajar dan berzikir, seorang yang zuhud sehingga susah untuk melihat beliau dalam satu masa dia tidak menggunakan masanya melainkan menyempurnakan masa tersebut untuk mengajar atau zikir atau membaca atau menyampaikan nasihat. Kuat berpegang dengan Kitab [al-Quran] dan Sunnah, mempunyai ingatan dan kecerdasan akal yang kuat dengan hujah dan dalil yang teguh, sangat adil dalam munghukumkan sesuatu, sentiasa memerangi terhadap siapa sahaja yang melanggar syarak, mempunyai kekuatan dan semangat yang tinggi dalam amal makruf dan nahi munkar hinggakan golongan bidah berhasad dan menfitnahnya, tetapi Allah memberkati amalannya dan memelihara manhaj Ahlus Sunnah hinggakan telah lahir beribu-ribu anak muridnya bertebaran di muka bumi ini dari Negara Arab, Eropah, Afrika, Australia dan juga Asia.



Penulisannya:
Syeikh Abdullah al-Harary sebenarnya tidak mempunyai waktu yang mencukupi untuk mengarang banyak kitab kerana beliau amat sibuk dengan pengajaran dan memperbetulkan akidah-akidah manusia, di samping menentang golongan sesat yang mereka cipta perkara baru dalam agama. Walaubagaimanapun dalam kesibukan itu beliau tetap juga menulis pelbagai karangan dan risalah-risalah antaranya ialah :

1. Syarah Alfiah As-Suyuthi.
2. Qosidah Fil I’tiqodi.
3. As-Shirothul Mustaqiim.
4. Ad-Dalilul Qawim ‘Ala As-Shirothil Mustaqiim.
5. Mukhtasar Abdillah Al-Harary Al-kafil Bi ‘Ilmi Ad-Din Ad-Dharury ‘Ala Mazhabi Asy-Syafii.
6. Mukhtasar Abdillah Al-Harary Al-kafil Bi ‘Ilmi Ad-Din Ad-Dharury ‘Ala Mazhabi Al-Imam Malik
7. Mukhtasar Abdillah Al-Harary Al-kafil Bi ‘Ilmi Ad-Din Ad-Dharury ‘Ala Mazhabi Abi Hanifah.
8. Bughyah At-Tholib li Ma’rifatil Ilmi Ad-Deenil Wajib.
9. At-Ta’aqqub Al-Hatsits ‘Ala Man Tho’ana fi Ma Sohha Minal Hadis.
10. Nashratul Ta’aqqubil Hatsits ‘Ala Man Tho’ana Fima Sohha Minal Hadis
11. Ar- Rawa-ihuz Zakiyyah fi Maulidi Khairil Bariyyah.
12. Syarah Aqidah An- Nasafiyyah.
13. Syarah Al-fiyah Al-Zubad fi fiqhi Asy- Syafii.
14. Syarah Matan Abi Syujaa’ Fi Fiqhi Asy Syafii
15. Syarah As-Shirothil Mustaqiim.
16. Syarah Matnil ‘Ashmawiyyah.
17. Syarah Mutammimah Al-Aa jurumiyah fin Nahu.
18. Syarah Al-Baiquniyyah.
19. Shorihul Bayan fi Roddi ‘Ala Man Khalafal Quran.
20. Al-Maqoolaat As-sunniyyah fi Kasyfi Dhalalaat Ahmad bin Taimiyah.
21. Kitab Ad-Durrin Nadhidi Fi Ahkamit Tajwid.
22. Idzhar Al-‘Aqidah As-Sunniyyah bi Syarah al-‘Aqidah At- Thohawiyah.
23. At-Tahzir al-Wajib
24. Mandzumah “Nasihat At-Thullab”.
25. Risalah Fi Buthlan Da’wa Awwaliyyatil An-Nurul Muhammady.
26. Risalah Fi Roddi ‘ala Qaulil ba’dhi Innar Rasula ya’lamu kulla Syai’in ya’lamuhumullah.
27. Ad-Durarul Bahiyyah Fi Halli Alfadz Al-‘Aqidah At-Tahawiyah.
28. Al-Ghaaratul Imaniyyah Fi Roddi Mafasidi At-Tahriryyah.
29. Syarah Mandzumah As-Shibyan fil ‘Arudh
30. Syarah As-Sifat Ats-Salats ‘Asyarata Al-Wajib Lillah
31. Al’Aqidah Al-Munjiyyah
32. Syarah At-Tanbih
33. Syarah Manhaj At-Tullab.
34. Syarah Kitab Sullamit Taufiq ila Mahabbatillah ‘Ala Tahqiqi Lil Syeikh Abdillah Ba’lawi

Kewafatannya:
Beliau kembali ke Rahmatullah pada fajar hari selasa 2 Ramadhan 1429 Hijrah bersamaan 2 September 2008 Masihi di rumahnya di Beirut pada usia 105 tahun, disembahyangkan oleh jutaan umat Islam di Masjid Burj Abi Haidar Beirut dan di makamkan berdekatannya.

Beliau adalah ulama yang hebat dan dikenali dengan gelaran Al-Muhaddith (ulama pakar Hadith, Syeikhul Islam dan sebagainya dari gelaran yang mulia. Rahimakallahu Ya Syeikh Abdullah Al-Harari.

www.ustaz-rasyiq.blogspot.com

Wednesday, January 21, 2009

Boleh Mengata Orang Sesat?

Soalan:
Adakah kita diharuskan mengatakan kesalahan orang lain terutama kesalahan itu makin tersebar dikalangan masyarakat? Contoh; di blog-blog ada mengatakan orang ini dan itu salah kerana menyebarkan fahaman itu dan ini. Harap penjelasan.

____________

Jawapan
:
Ya. kita diharuskan menyebut kesalahan orang lain atas dasar untuk memberi peringatakan kepada masyarakat agar tidak terpengaruh dengan kesesatan yang disebarkan oleh orang itu. Tiada masaalah dengan kita menyebut nama si fulan bin si fulan yang menyebarkan fahaman Musyabbihah yang menyamakan Allah dengan makhluk bertujuan agar umat Islam berjaga-jaga dengan kesesatan yang disampaikan oleh orang tersebut. Dan seeloknya sertakan bukti dan penjelasan serta hujjah yang rapi.

Dalilnya, pernah dinyatakan bahawa Fatimah Binti Qoisin bertanya kepada Rasulullah: “Wahai Rasulullah! Mu’awiyah dan Abu Jahm telah datang meminangku” Maka Rasulullah bersabda: “Perihal Abu Jahm beliau adalah seorang yang tidak meletakkan rotan dari bahunya, dan perihal Mu’awiyah pula miskin tidak mempunyai harta, maka bernikahlah dengan Usamah” . Riwayat Muslim dalam Sohihnya: Kitab At-tolaq: Bab Al-Mutallaqoh Thalathan La Nafaqota Laha dan juga diriwayat oleh Imam Ahmad dalam Musnadnya (juzuk 6/ms:412).

Jelas didapati bahawa Rasulullah sendiri mengawasi Fatimah dari kedua sahabat tadi dan baginda menyebut nama keduanya dibelakang mereka tanpa keberadaan keduanya, kemudian baginda menjelaskan pula perihal keduanya iaitu Mu’awiyah merupakan seorang yang teramat fakir tidak mampu memenuhi nafkah manakala Abu Jahm pula adalah seorang yang kerap memukul wanita.

Nah! Bagaimana dengan hal insan-insan yang menipu dirinya berilmu dan menipu orang ramai serta menukar hukum yang kufur itu menjadi hukum Islam! Maka, lagilah perlu untuk kita menjelaskan bahaya fahaman si fulan yang dibawa dan ia satu perkara yang amat penting.

Kerana inilah kita dapati Imam Asy-Syafi’e menolak fahaman seorang lelaki yang berakidah Mu’tazilah bernama Hafsy Al-Fard dihadapan khalayak ramai lantas beliau mengatakan kepada Hafsy tadi: “Kamu telah jatuh kafir kepada Allah Yang Agong” .
Rujuk: Manaqib Asy-Syafi’e oleh Imam Al-Baihaqy (juzuk 1/ms:407).

Dihadapan khalayak ramai Imam Asy-Syafi'e menghukum kufur terhadap Hafsy tadi dan menjelaskan kesesatannya dihadapan orang ramai. Ini juga membuktikan kita harus menyatakan perihal seseorang yang sesat itu adalah sesat walaupun secara terang-terangan.

Wallahu 'alam.
www.ustaz-rasyiq.blogspot.com

Tuesday, January 20, 2009

Apa Hukum Solat Di belakang Ahli Bid'ah?

Soalan:
Apa hukum solat sebagai ma’mun dibelakang imam dikalangan ahli bid’ah seperti kelompok Al-Musyabbihah?

___________

Jawapan:
Imam Abu Hanifah radhiyallahu ‘anhu dan sahabatnya Imam Abu Yusuf melarang dan menghukum tidak sah solat seseorang dibelakang kelompok Al-Musyabbihah.(Rujuk Umdatul Qori Fi Syarah Al-Bukahary oleh Badruddin Al-‘Ainiy)

Dalam hal ini, ahli bid’ah terbahagi kepada dua.
Pertama: Ahli bid’ah yang tidak sampai ketahap penghukuman kafir terkeluar dari Islam. Kedua: Ahli bid’ah yang sampai kepada hukum takfir terkeluar dari Islam.

Maka solat dibelakang kelompok yang pertama tadi adalah sah tetapi makruh manakala solat dibelakang kelompok yang kedua pula adalah tidak sah sama sekali. (Rujuk: Bada’iu Asy-Shona’iu Fi Tartib Asy-Syarai’u oleh Abu Bakar Al-Kasaniy).

Wallahu ‘alam.

AL-QODARIYYAH BUKAN KELOMPOK ISLAM- sabda Nabi

Soalan:
Apakah aqidah Al-Qodariyyah? Dan apakah penghukuman terhadap mereka?

________

Jawapan
:
Al-Qodariyyah adalah satu kelompoak yang mendakwa manusia yang mencipta amalannnya sendiri bukan Allah, setelah Allah memberi manusia itu kekuatan maka manusia mampu mencipta perbuatannya sendiri daripada tidak ada kepada ada. Demikianlah aqidah kelompok Al-Qodariyah. Mereka juga terkenal dengan nama Al-Mu'tazilah dan aqidah mereka itu adalah terkeluar dari akidah Ahli Sunnah Wal Jama'ah sebenar.


PENGHUKUMAN TERHADAP AL-QODARIYYAH

Rasulullah menghukum kelompok Al-Qodariyyah sebagai Majusi pada umat ini (Riwayat Abu Daud & Disahihkan oleh Al-Hakim). Sudah pastinya Majusi bukanlah beragama Islam. Ini bererti Rasulullah mengeluarkan mereka dari daerah keislaman.

Abdullah Bin Umar radhiyallahu 'anhuma sering menolak fahaman Al-Qodariyyah ini begitu juga Ibnu 'Abbas menjelaskan dengan lafaz beliau: "Kenyataan dan kata-kata kelompok Al-Qodariyyah adalah KUFUR".
Imam Saidina 'Ali pernah berkata kepada seorang yang berakidah Al-Qodariyyah : "Kalau kamu kembali beraqidah seperti ini maka aku akan potong kepala kamu".
Begitu juga Imam Hasan bin 'Ali bin Abi Tolib dan Imam Al-Mujtahid Abdullah bin Mubarak kerap memberi peringatan kepada dua orang tokoh Al-Qodariyyah iaitu Thaur Bin Yazid dan 'Amru bin 'Ubaid agar tidak berpegang dengan aqidah tersebut dan agar terus kembali kepada aqidah Islam.

Disana terlalu ramai ulama menolak aqidah kelompok Al-Qodariyyah ini dan menyifatkan mereka sebagai KAFIR dan MUSYRIK antaranya kita dapati Imam Malik pernah ditanya mengenai penikahan dengan kelompok Al-Qodariyyah lalu beliau menolak menikahan seorang muslimah dengan kelompok itu lantas membaca ayat Allah yang bermaksud: " Hamba yang mukmin lebih baik daripada orang yang Musyrik" (Al-baqoroh ayat 221) ayat tersebut bererti tidak sah berkahwin dengan orang musyrik dan Imam Malik menyifatkan Al-Qodariyyah itu sebagai Musyrik (Rujuk Ibnul 'Arabiy Al-Maliky dan Imam Zakasyi menukilkannya dalam syarahnya ke atas kitab Usul oleh Ibnu Al-Subki).


AL-QODARIYYAH BUKAN ISLAM LAGI- SABDA NABI

Dan ramai lagi ulama Islam termasuk Imam Abu hanifah, Imam Asy-Syafi'e, Imam Ahmad bin hambal dan selainnya menghukum kelompok muktazilah Al-Qodariyyah itu sebagai BUKAN ISLAM.

Masakan tidak, sedangkan Insan yang paling mulia dan ma'sum Nabi Muhammad telah menjelaskan perihal kelompok Al-Qodariyyah ini sebagai BUKAN ISLAM berdasarkand dari hadith baginda yang sohih :

صنفان من أمتي ليس لهما نصيب في الاسلام القدرية و المرجئة


Sabda Nabi Muhammad yang bermaksud:
" Dua kelompok dari umatku yang BUKAN ISLAM mereka adalah AL-QODARIYYAH dan Al-Murjiah ".
Hadith Nabawi Sohih riwayat Ibnu Jarir At-Tobary dalam Tahzib Al-Aathaar daripada Ibnu Umar dan juga riwayat Imam Baihaqy dalam kitab Al-Qodar daripada Ibnu 'Abbas marfu'an dengan pelbagai silsilah perawi yang banyak.

Maka jangan terkeliru dengan pendapat yang berlainan dengan hadith nabi.
wassalam.

www.ustaz-rasyiq.blogspot.com

Saturday, January 17, 2009

HARAM BERTANYA “DI MANA TEMPAT ALLAH?” !

Soalan:
Askum…ustaz…saya seorang guru disalah sebuah sekolah kerajaan yang sering mengajak kawan sahabt saya dikalangan guru menunaikan solat berjemaah bila tiba masanya pabila mereka free.
Saya pernah ditanya oleh salah-seorang guru itu yang tidak pernah saya melihat dia menunaikan solat berjamaah bersama kami bahkan ramai yang mengatakan dia tidak solat. Soalan saya, dia kerap melontarkan soalan yang meragukan seperti ditanya “DI MANA TEMPAT BAGI ALLAH?”…adakah soalan sebegini harus untuk ditanya?

_________________


Jawapan:
Wa’alaykumsalam.
Terima kasih kerana menghantar soalan ke email saya. Pertamanya , perlu diketahui bahawa Allah Tuhan yang kita sembah Dia tidak memerlukan kepada mana-mana tempat. Itulah aqidah Islam yang perlu diimana bagi setiap muslim yang dilemparkan soalan seperti di atas.

Berdasarkan kajian para ulama mendapati tiada suatu ayat Al-Quran dan tiada suatu Al-Hadith pun yang mengharuskan soalan seperti itu. Bahkan ulama Islam telah bersepakat bahawa Allah ta’ala tidak diliputi oleh tempat (Rujuk Al-Farqu Bainal Firaq m/s 334).

Maka soalan yang berbunyi “Di mana tempat Allah?” merupakan soalan bid’ah sesat termasuk dalam konsep yang yang ditolak oleh Islam dan tindakan Imam Malik menghukum si penyoal tentang "BENTUK ALLAH" sebagai si bid’ah yang sesat samalah kita menghukum si penyoal soalan "DI MANA TEMPAT ALLAH?" tadi sebagai tukang buat bid’ah lagi sesat dan bertanyakan tempat bagi Allah adalah haram hukumnya bahkan sekiranya seseorang itu mendakwa zat Allah diliputi oleh tempat maka dia jatuh murtad berdasarkan penghukuman Ijmak para ulama. (Rujuk Syarah Fiqhul Akbar).

TAMBAHAN
Manakal hadith Nabi yang terkenal dengan Hadith Al-Jariah di dalamnya tiada langsung Nabi mempersoalkan tempat bagi Allah kerana Allah telah sedia wujud seperti mana sabda baginda sendiri menjelaskan dalam Hadith yang diriwayat Imam Al-Bukhary yang bermaksud: “Allah telah sedia wujud dan selainnya (sprt tempat,langit,arasy dll) belum wujud lagi ”.

Kemudian teks soalan ditanya dalam bahasa Arab tidak harus diterjemahkan tanpa penilaian displin ilmu sebenar, ini kerana soalan Nabi yang tertera dalam sohih Muslim “AINA ALLAH?” adalah bererti soalan menayakan akan martabat dan keagongan Allah di hati Jariah itu dan bukan bertanyakan tempat bagi Allah.

Dalam islam kita diajar menghukum orang lain sebagai Islam dengan dua kalimah syahadah yang dipegang dan diucap bukannya dengan bertanyakan “DI MANA TEMPAT ALLAH?” ! tidak pernah dibuat oleh mana-mana Nabi pun tanya sebegitu.

Mengenai hadith Jariah tadi boleh dirujuk keterangan yang dijelaskan oleh Imam Nawawi dalam Syarah Sohih Muslim.

Ringkasan jawapan pada soalan di atas adalah haram hukumnya bertanyakan soalan “DI MANA TEMPAT BAGI ALLAH?” bahkan terkeluar dari Islam sesiapa yang menyamakan Allah dengan makhluk seperti mendakwa zat Allah itu memerlukan tempat atau berbentuk & bertempat.

Wallahu A'ala Wa A'alam.
www.ustaz-rasyiq.blogspot.com

Keliru Akidah Wahhabi?

Soalan:

As'kum. Ustaz...saya pernah membaca pasai Wahhabi. Nampak macam pada akidah mereka agak mengelirukan. Mintak Ustaz jelaskan apa kekeliruan pada akidah Wahhabi secara ringkas? dan adakah patut Wahhabi ini ditolak terus?


_______________________________________________________

Jawapan:
Wa'alaikumsalam.
Akidah Wahhabi sememangnya banyak bertentangan dengan akidah Ahli Sunnah Wal Jama'ah bahkan amat berbeda dengan akidah yang dibawa oleh junjungan besar kita Nabi Muhammad.
Sebagai contoh akidah mengenai kewujudan Allah, kita dapati ajaran Wahhabi pada satu masa mereka mendakwa 'Allah zatNya berada di dalam langit' kemudian pada masa yang lain pula mereka mendakwa 'Allah berada di atas langit' dan pada yang lain pula kita dapati Wahhabi mempercayai 'Allah duduk di atas kerusi yang berada di atas langit' dan pada masa yang lain pula lagi kita dapati Wahhabi mempercayai 'Allah berada dan bertempat di kawasan Arasy' pula, dan lebih pelik pada masa yang lain pula akidah mereka 'Allah berada dan bertempat di atas Arasy'.
Sedangkan kesemua tempat-tempat itu amat berbeda antara satu sama lain. Kerana itulah Ulama Ahli Sunnah menaikkan slogan akidah Islam sebenar iaitu " Allah Ada Tanpa Bertempat" yang bererti Allah tidak diliputi oleh tempat kerana Allah tidak memerlukan mana-mana tempat samaada langit, kerusi atau Arasy.
Akidah Wahhabi yang menukar-nukar tempat bagi Allah mengikut dakwaan mereka hakikatnya adalah mempermainkan kewujudan Allah dan ilmu asas akidah mengenal Allah itu sendiri.

Apabila didapati banyak pertukaran-perubahan akidah mereka sendiri perihal kewujudan Allah dapatlah disimpulkan akidah mereka berbolak-balik berubah-ubah bertukar-tukar khususnya dalam masaalah beriman dengan Allah.

Kesemua tadi menunjukkan akidah Wahhabi tidak tetap dan tidak setia dek kerana mereka menyalah-tafsirkan nas-nas agama maka tidak peliklah akidah mereka amat mengelirukan.
Sepastinya jika seseorang itu mengikut Wahhabi akan banyak terkeliru dan tersalah-anggap dengan agama Islam sebenar.

Berdasarkan kajian akidah fahaman Wahhabi harus ditolak kerana menganggu-gugat perpaduan umat Islam dan inilah yang telah difatwakan oleh Majlis Fatwa Kebangsaan & JAKIM.

*PENTING:-

MALAYSIA MENOLAK DAN MENYEKAT AJARAN WAHHABIYAH BERDASARKAN:-

- MUZAKARAH JAWATANKUASA FATWA KEBANGSAAN KALI KE-12 PADA TAHUN 1985,KALI KE-14 PADA TAHUN 1985,KALI KE-16 PADA TAHUN 1986,KALI KE-40 PADA TAHUN 1996,KALI KE-42 PADA TAHUN 1997, KALI KE-44 PADA TAHUN 1998,

DAN

-MESYUARAT PANEL KAJIAN AQIDAH JAKIM KALI KE-14 PADA TAHUN 2000,KALI KE-20 PADA TAHUN 2002 DAN KALI KE-23 PADA TAHUN 2003.

KESEMUA KEPUTUSAN ADALAH MENYEKAT AJARAN WAHHABIYAH KERANA MENGGUGAT PERPADUAN UMAT ISLAM DI MALAYSIA.

SUMBER DARI:

JABATAN KEMAJUAN ISLAM MALAYSIA (JAKIM)

DAN

JAWATANKUASA PENYELARASAN PENYELIDIKAN ISLAM KEBANGSAAN (JAPPIS)

Wassalam.

www.ustaz-rasyiq.blogspot.com

Wednesday, January 14, 2009

Apa Itu Murtad?

Apakah maksud riddah? Dan berapakah bahagiannya?

Jawapan:
Riddah ialah terputusnya keislaman dengan sebab kekufuran. Riddah terbahagi kepada tiga bahagian:

1. Riddah Qawliyyah (perkataan) seperti mencaci atau memaki Allah atau para nabi atau Islam meskipun dalam keadaan marah.
2. Riddah Fi^liyyah (perbuatan) seperti melempar mushaf al-Quran ke tempat-tempat yang kotor dan memijak mushaf al-Quran.
3. Riddah Qalbiyyah (hati) seperti beriktikad bahawa Allah itu adalah suatu jisim atau benda atau roh atau bahawa Dia duduk atau bersemayam di atas Arasy atau bahawa Dia mendiami atau berada langit atau di setiap tempat dengan zat-Nya atau berpegang bahawa Dia berada di suatu penjuru atau pihak.

Allah ta^ala berfirman:
وَلَقَدْ قَالُوا كَلِمَةَ الْكُفْرِ وَكَفَرُوا بَعْدَ إِسْلاَمِهِمْ
Maknanya: “Dan sebenarnya mereka telah mengatakan perkataan kufur dan mereka telah kafir setelah keislaman mereka”. [Surah al-Tawbah: 74]
Allah ta^ala berfirman:
لاَ تَسْجُدُوا لِلشَّمْسِ وَلاَ لِلْقَمَرِ
Maknanya: "Janganlah kamu sujud kepada matahari dan bulan". [Surah Fussilat: 37]
Rasulullah sallaLlahu ^alayhi wasallam bersabda:
إِنَّ الْعَبْدَ لَيَتَكَلَّمُ بِالْكَلِمَةِ مَا يَتَبَيَّنُ فِيهَا يَهْوِي بِهَا فِي النَّارِ أَبْعَدَ مِمَّا بَيْنَ الْمَشْرِقِ وَالْمَغْرِبِ
Maknanya: “Sesungguhnya boleh terjadi seorang hamba mengucapkan perkataan (yang menghina Allah, para nabi atau syariat-Nya) yang dia tidak menganggapnya sebagai bahaya, (sedangkan perkataan itu) boleh menjerumuskannya ke dalam (dasar) neraka (yang kedalamannya) lebih jauh daripada jarak di antara timur dan barat”. [Diriwayatkan Muslim dan al-Bukhari]

Mana Dalil Iman Itu Syarat Diterima Amal?

Apakah dalil yang menunjukkan bahawa iman adalah syarat penerimaan segala amal soleh?

Jawapan
:
Allah ta^ala berfirman:
وَمَن يَعْمَلْ مِنَ الصَّالِحَاتِ مِن ذَكَرٍ أَوْ أُنثَى وَهُوَ مُؤْمِنٌ فَأُولَئِكَ يَدْخُلُونَ الْجَنَّةَ وَلاَ يُظْلَمُونَ نَقِيرًا
Maknanya: “Barangsiapa yang mengerjakan amalan soleh dari kalangan lelaki atau perempuan sedang dia seorang yang beriman (ertinya ini sebagai syarat), maka mereka itu akan memasuki syurga dan mereka tidak akan dianiaya sama sekali”. [Surah al-Nisa': 124]
Rasulullah sallaLlahu ^alayhi wasallam bersabda:
أَفْضَلُ الأَعْمَالِ إِيمَانٌ بِاللهِ وَرَسُولِهِ
Maknanya: “Perbuatan atau amalan yang paling utama (secara mutlaknya) ialah beriman dengan Allah dan Rasul-Nya”. [Diriwayatkan oleh al-Bukhari]

Apa Tafsir Ayat Ini Sebenarnya?

Apakah makna firman Allah ta^ala: لَمْ يَلِدْ وَلَمْ يُولَدْ [Surah al-Ikhlas: 3]?

Jawapan
:
Makna firman Allah di atas ialah Allah tidak berasal dari sesuatu dan tidak ada suatu pun yang menjadi pecahan daripada-Nya (seperti Dia tidak beranak).
Oleh itu, Allah tidak menempati sesuatu, tiada suatu pun yang terbahagi atau terpecah dari-Nya (sesuatu menjadi suatu juzuk daripada-Nya) dan tiada suatu pun yang menempati-Nya.

Al-Imam Ja^far al-Sadiq berkata:
مَن زَعِمَ أَنَّ اللهَ فِي شَيْءٍ أَوْ مِن شَيْءٍ أَوْ عَلَى شَيْءٍ فَقَدْ أَشْرَكَ
Maknanya: “Barangsiapa yang beranggapan bahawa Allah di dalam sesuatu, daripada sesuatu atau di atas sesuatu maka sesungguhnya dia telah menjadi musyrik”. [Diriwayatkan oleh al-Qushayri dalam al-Risalah al-Qushayriyyah]

Sifat Wajib & Mustahil Para Nabi

Apakah sifat wajib bagi para nabi dan sifat mustahil bagi mereka?

Jawapan:
Para nabi wajib (pasti pada akal) bersifat benar, amanah, pintar, terpelihara dari perbuatan tercela, berani, fasih atau petah berbicara. Mereka mustahil bersifat dusta, khianat, kecelaan, zina, semua dosa besar dan kekufuran sebelum kenabian dan selepas kenabian.
Allah ta^ala berfirman:
وَكُلاًّ فَضَّلْنَا عَلَى الْعَالَمِينَ
Maknanya: “Dan semuanya (para nabi itu) kami melebihkan darjat mereka ke sekalian makhluk”. [Surah al-An^am: 86]
Rasulullah sallaLlahu ^alayhi wasallam bersabda:
مَا بَعَثَ اللهُ نَبِيًّا إِلاَّ حَسَنَ الْوَجْهِ حَسَنَ الصَّوْتِ
Maknanya: “Allah tidak mengutus seorang nabi pun melainkan tampan rupanya dan merdu suaranya”. [Diriwayatkan oleh al-Tirmidhi]

Qadar @ Takdir? Apa itu...

Tolong terangkan tentang Takdir.

Jawapan
:
Segala sesuatu yang terjadi di alam ini terdiri daripada kebaikan dan keburukan,
ketaatan dan kemaksiatan serta keimanan dan kekufuran adalah dengan takdir, kehendak dan ilmu Allah. Kebaikan, keimanan dan ketaatan ditentukan dengan takdir Allah dengan kesukaan dan keredaan-Nya. Manakala kejahatan, kemaksiatan dan kekufuran ditentukan dengan takdir Allah tanpa kesukaan dan keredaan-Nya. Namun takdir Allah yang merupakan sifat-Nya yang azali dan abadi itu tidak boleh disifatkan dengan kejahatan atau keburukan.
Allah ta^ala berfirman:
إِنَّا كُلَّ شَىْءٍ خَلَقْنَاهُ بِقَدَرٍ
Maknanya: “Sesungguhnya Kami telah menciptakan segala sesuatu dengan suatu ukuran (ketentuan)”. [Surah al-Qamar: 49]
Rasulullah sallaLlahu ^alayhi wasallam bersabda:
كُلُّ شَيْءٍ بِقَدَرٍ حَتَّى الْعَجْزُ وَالْكَيسُ
Maknanya: “Segala sesuatu (terjadi) dengan suatu ukuran (ketentuan Allah) meskipun kebodohan dan kepintaran”. [Diriwayatkan oleh Muslim]

Apa Tafsir Firman Allah Surah Taha Ayat 5?

Apakah makna firman Allah: الرَّحْمَنُ عَلَى الْعَرْشِ اسْتَوَى [Surah Taha: 5]?

Jawapan:
Al-Imam Malik berkata:
اسْتَوَى كَمَا وَصَفَ نَفْسَهُ وَلا يُقَالُ عَنْهُ كَيْفَ وَكَيْفَ عَنْهُ مَرْفُوعٌ
Maknanya: “Allah istawa (استوى) seperti yang Dia mensifatkan Zat-Nya, tidak boleh dikatakan bagaimana tentangnya (istawa), dan persoalan bagaimana itu mustahil bagi-Nya”.

Bagaimana (bentuk) adalah sifat makhluk dan antara sifat makhluk ialah duduk, mendiami, bertempat dan berpihak.
Al-Imam al-Qushayri berkata:
اسْتَوَى أي حَفِظَ وَقَهَرَ وَأَبْقَى
Maknanya: “Istawa bererti menjaga, menguasai dan menetapkan”.

Tidak boleh beriktikad bahawa Allah duduk atau bersemayam di atas arasy kerana pegangan ini adalah akidah Yahudi dan di dalam akidah ini terdapat pendustaan terhadap firman Allah ta^ala ini:
فَلاَ تَضْرِبُوا لله الأَمْثَالَ
Bermaksud: “Maka janganlah kamu mengadakan sebarang persamaan bagi Allah”. [Surah al-Nahl, ayat74]
Allah ta^ala berfirman:
وَبَرَزُوا للهِ الْواحِدِ الْقَهَّارِ
Maknanya: “Dan mereka berkumpul untuk dihisab oleh Allah Yang Maha Esa lagi Maha Menundukkan dan Menguasai”. [Surah Ibrahim: 48]
Sayyidina ^Ali radiyaLlahu ^anhu wakarrama wajhah berkata:
إِنَّ اللهَ خَلَقَ الْعَرْشَ إِظْهَارًا لِقُدْرَتِهِ وَلَمْ يَتَّخِذْهُ مَكَانًا لِذَاتِهِ
Maknanya: “Sesungguhnya Allah menciptakan arasy untuk menampakkan kekuasaan-Nya dan bukanlah Allah mengambilnya sebagai suatu tempat bagi zat-Nya”. [Diriwayatkan oleh Abu Mansur al-Baghdadi]

Apa Erti Bid'ah? Ada Pembahagian?

Adakah wujud pembahagiann bid^ah dan apakah dalil yang menunjukkan bahawa bid^ah hasanah itu ada?

Jawapan:
Bid^ah dari segi bahasa ialah setiap perkara yang diadakan tanpa ada contoh sebelumnya, manakala dari segi istilah pula bid^ah terbahagi kepada dua, iaitu bid^ah huda dan bid^ah dalalah.
Allah ta^ala berfirman:
وَرَهْبَانِيَّةً ابْتَدَعُوهَا مَا كَتَبْنَاهَا عَلَيْهِمْ إِلاَّ ابْتِغَاءَ رِضْوَانِ اللهِ
Maknanya: “…dan mereka mengada-adakan rahbaniyyah sedangkan kami tidak mewajibkannya kepada mereka melainkan (mereka sendiri yang mengada-adakannya) untuk mencari keredaan Allah”. [Surah al-Hadid: 27]
Allah memuji perbuatan para pengikut Nabi ^Isa ^alayhis-salam yang muslim kerana mereka menjauh dan memutuskan diri mereka daripada kesukaan nafsu syahwat yang tidak diwajibkan ke atas mereka semata-mata kerana menagih keredaan Allah.
Rasulullah sallaLlahu ^alayhi wasallam bersabda:
مَن سَنَّ فِي الإِسْلامِ سُنَّةً حَسَنَةً فَلَهُ أَجْرُهَا وَأَجْرُ مَنْ عَمِلَ بِهَا مِن بَعْدِهِ
Maknanya: “Barangsiapa yang merintis (memulai) dalam Islam suatu perbuatan yang baik, maka dia mendapat pahala perbuatan tersebut dan pahala orang-orang yang melakukan perbuatan itu selepasnya”. [Diriwayatkan oleh Muslim]

Para sahabat Nabi dan generasi muslim selepas mereka banyak melakukan perkara-perkara baru yang baik dalam agama dan umat Islam menerima perkara itu seperti membina mihrab (tempat sembahyang imam di masjid), azan kedua bagi sembahyang Jumaat, meletakkan titik di dalam mushaf dan amalan Maulid Nabi.

Makhluk Pertama Apa Dia?

Apakah makhluk Allah yang pertama?

Jawapan:
Makhluk pertama ialah air. Allah ta^ala berfirman:
وَجَعَلْنَا مِنَ الْمَاءِ كُلَّ شَىْءٍ حَىٍّ
Maknanya: “Dan kami telah menjadikan segala sesuatu yang hidup daripada air”. [Surah al-Anbiya': 30]
Rasulullah sallaLlahu ^alayhi wasallam bersabda:
كُلُّ شَيْءٍ خُلِقَ مِنَ الْمَاءِ
Maknanya: “Setiap sesuatu diciptakan daripada air”. [Diriwayatkan oleh Ibn Hibban]

Apa Itu Ibadah?

Apakah makna ibadah?

Jawapan:
Ibadah adalah kemuncak ketundukan dan ketaatan sebagaimana yang dikatakan oleh al-Hafiz al-Subki.
Allah ta^ala berfirman:
لاَ إِلَهَ إِلاَّ أَنَا فَاعْبُدُونِ
Maknanya: “Tiada Tuhan yang wajib disembah kecuali Aku (Allah), maka beribadahlah (sembahlah) kepada-Ku”. [Surah al-Anbiya': 25]
Rasulullah sallaLlahu ^alayhi wasallam bersabda:
حَقُّ اللهِ عَلَى الْعِبَادِ أَن يَعْبُدُوهُ وَلا يُشْرِكُوا بِهِ شَيْئًا
Maknanya: “Hak Allah ke atas para hamba ialah mereka hendaklah beribadah kepada-Nya dan tidak menyekutukan sesuatu pun dengan-Nya”. [Diriwayatkan oleh al-Bukhari dan Muslim]

Dosa Paling Besar?

Apakah dosa yang paling besar?

Jawapan:
Dosa yang paling besar ialah kufur. Perkara yang termasuk dalam kekufuran ialah syirik. Makna syirik ialah menyembah selain Allah. Allah ta^ala berfirman tentang Luqman, bahawa Luqman berkata:
يَا بُنَىَّ لاَ تُشْرِكْ بِاللهِ إِنَّ الشِّرْكَ لَظُلْمٌ عَظِيمٌ
Maknanya: “…Wahai anak kesayanganku! Janganlah engkau menyekutukan Allah kerana sesungguhnya penyekutuan (terhadap Allah) itu adalah kezaliman yang amat besar”. [Surah Luqman:13]

Rasulullah sallaLlahu ^alayhi wasallam pernah ditanya tentang dosa yang paling besar, lalu Baginda sallaLlahu ^alayhi wasallam bersabda:
أَن تَجْعَلَ للهِ نِدًّا وَهُوَ خَلَقَكَ
Maknanya: “Apabila engkau mengadakan suatu sekutu bagi Allah sedangkan Dia telah menciptakanmu”. [Diriwayatkan oleh al-Bukhari dan selainnya].

Erti Allah Wujud

Apa makna Allah itu wujud?

Jawapan:
Allah itu ada dan tiada sebarang keraguan tentang kewujudan-Nya. Adanya Allah itu tanpa kayf (bagaimana, bentuk atau cara) ,
tanpa tempat, tanpa arah atau ruang dan tidak menyamai suatu pun daripada makhluk-Nya serta tiada suatu pun daripada makhluk-Nya yang menyerupai-Nya.
Allah ta^ala berfirman:
أَفِى اللهِ شَكٌّ
Maknanya: “Tiada keraguan akan adanya Allah”. [Surah Ibrahim: 10]
Rasulullah sallaLlahu ^alayhi wasallam bersabda:
كَانَ اللهُ وَلَمْ يَكُنْ شَيْءٌ غَيْرُهُ
Maknanya: “Allah ada (azali yakni ada tanpa permulaan) dan tiada sesuatu pun selain-Nya”. [Diriwayatkan oleh al-Bukhari dan selainnya]

Apa Itu Tauhid?

Apakah erti Tauhid?

Jawapan:
Al-Imam al-Junayd berkata:
التَّوْحِيدُ إِفْرَادُ الْقَدِيـمِ مِنَ الْمُحْدَثِ
Maknanya: “Tauhid ialah menyucikan (Allah) al-Qadim (Yang Maha Sedia Ada tidak mempunyai permulaan) dari (menyerupai makhluk-Nya) yang baharu (ada yang didahului dengan tiada dan ada permulaan)”. [Diriwayatkan oleh al-Hafiz al-Khatib al-Baghdadi]
Allah ta^ala berfirman:
لَيْسَ كَمِثْلِهِ شَىْءٌ
Maknanya: “Tiada suatu pun yang sama seperti-Nya (Allah)”. [Surah al-Shura: 11]

Suatu ketika Rasulullah sallaLlahu ^alayhi wasallam ditanya tentang amalan yang paling utama,
lalu Baginda sallaLlahu ^alayhi wasallam menjawab:
إِيـمَانٌ بِاللهِ وَرَسُولِهِ
Maknanya: “Keimanan kepada Allah dan Rasul-Nya”. [Diriwayatkan oleh al-Bukhari]

Mahu Diterima Ibadah, bagaimana?

Bagaimanakah ibadah menjadi sah?

Jawapan:
Beribadah kepada Allah menjadi sah apabila dilakukan oleh orang yang meyakini kewujudan Allah dan tidak menyamakan atau menyerupakan-Nya dengan sesuatu apapun dari makhluk-Nya.

Allah ta^ala berfirman:
لَيْسَ كَمِثْلِهِ شَىْءٌ
Maknanya: “Tiada suatu pun yang sama seperti-Nya (Allah)”. [Surah al-Shura: 11]

Rasulullah sallaLlahu ^alayhi wasallam bersabda:
لا فِكْرَة فِي الرَّبِّ
Maknanya: “Tidak boleh berfikir (membayangkan) tentang Allah”. [Diriwayatkan oleh
Abu`l-Qasim al-Ansari]

Al-Ghazali berkata:
لاتَصِحُّ الْعِبَادَةُ إِلا بَعْدَ مَعْرِفَةِ الْمَعْبُودِ
Maknanya: “Ijavascript:void(0)badah tidak sah kecuali selepas mengetahui (Allah yang wajib) disembah”.

Apa Itu Ilmu Fardhu 'Ain?

Apakah yang dimaksudkan dengan ilmu agama yang (hukum mempelajarinya) fardu ain?

Jawapan:
Setiap mukallaf diwajibkan mempelajari suatu kadar ilmu agama yang dia perlu tahu, ianya terdiri daripada akidah, bersuci, solat, puasa, zakat bagi orang diwajibkan untuk mengeluarkannya, haji bagi orang yang berkemampuan, maksiat-maksiat hati, tangan, mata dan sebagainya.
Allah ta^ala berfirman:
قُلْ هَلْ يَسْتَوى الَّذِينَ يَعْلَمُونَ وَ الَّذِينَ لاَ يَعْلَمُونَ
Maknanya: “Katakanlah (wahai Muhammad) tidaklah sama orang yang mengetahui dan orang yang tidak mengetahui”. [Surah al-Zumar: 9]
Rasulullah sallaLlahu ^alayhi wasallam bersabda:
طَلَبُ الْعِلْمِ فَرِيضَةٌ عَلَى كُلِّ مُسْلِمٍ
Maknanya: “Menuntut ilmu agama (yang daruri atau teras itu) adalah wajib ke atas setiap muslim”. [Diriwayatkan oleh al-Bayhaqi]

Laman Utama